Cerita Di Banjaran
Ayah sedang memandu di sebatang jalan yang merentasi banjaran gunung . Sambil memandu , sambil mendengar bacaan ayat alQuran dari sistem audio kereta . Ketika itu surah Al Waqiah sedang dibaca oleh seorang qari lelaki . Bacaannya jelas dan merdu .
Jalan yang Ayah lalui itu lurus dan lebar. Di kiri dan kanan jalan penuh dengan pokok-pokok . Jalan sunyi, tidak ada kenderaan lain . Matahari sudah condong ke barat. Cuaca redup , sinar matahari banyak terhalang oleh daun-daun pokok yang tebal. Tingkap sebelah pemandu terbuka , dan angin sejuk menerobos masuk . Angin gunung yang menyegarkan .
Kereta G63 warna merah kegemaran Ayah meluncur lancar . Walau pedal minyak ditekan sedikit , kapisiti enjin 4.0 liter V8 biturbo dengan 577 kuasa kuda ini gagah memanjat gunung . Ruang dalamannya luas , kemas dan selesa .
Perjalanan lancar sahaja . Sampai di satu tempat , Ayah nampak ada satu pokok besar. Tidak jauh dari pokok itu ada sebuah mesjid . Ada dua orang lelaki tua berdiri di tepi jalan. Kedua-duanya pakai baju Melayu warna putih , berkain pelikat warna gelap dan bercapal kelabu.
Nampak mereka menahan kereta Ayah dari jauh lagi . Ayah berbelah bahagi untuk berhenti . Anehnya , brek kereta seperti ditekan secara automatik dan Ayah berhenti dekat mereka . Seelok itu bacaan surah AlWaqiah pun tamat dan CD player terus off begitu sahaja .
Ayah membuka cermin tingkap pintu sebelah penumpang depan . Salah seorang mereka datang menghampiri dan memberi salam. Ayah menjawapnya . Mereka hendak menumpang kereta Ayah untuk balik ke rumah yang tidak jauh dari situ . Tanpa berfikir lanjut , Ayah mengangguk tanda sudi .
Sebaik mereka naik , kami bersalaman . Setelah semua pintu ditutup , Ayah menyambung pemanduan . Mereka memperkenalkan diri . Mereka ini dua beradik . Abang bernama Pak Rahman dan adik bernama Pak Rahim. Ayah perkenalkan diri juga .
Kami diam sahaja selepas itu . Ayah kerling ke sebelah , nampak Pak Rahman sedang menggerakkan tasbihnya , berzikir barangkali . Ayah tengok pula Pak Rahim di belakang melalui ‘rear mirror ‘, nampak dia tunduk dan juga memegang tasbih.
Ayah tiba-tiba rasa bulu roma di lengan berdiri . Tetapi tidak ada rasa berdebar. Ada hembusan angin lembut membelai kepala Ayah . Ayah diam, dan datang keinginan untuk mengetahui siapa mereka. Datang bisikan nakal lalu Ayah gerakkan jurus halus untuk cuba mengenali mereka .
Pak Rahman spontan bersuara “ Kami hanya ingin bersahabat , tidak ada tujuan lain ...”
Ayah memandang ke sebelah dan senyum kepada Pak Rahman. Dan dia membalas senyuman Ayah. Ada aliran kemesraan terpancar di sebalik senyuman itu .
Kami diam semula . Ayah menatapi keindahan pemandangan yang terbentang . Meminjam kata seorang pujangga , “ I can stare in endless silence “ kepada kehijauan hutan dan keindahan banjaran .
“ Jauh lagi rumah Pak Rahman ?” tanya Ayah , takut terlepas rumah mereka . Suara Ayah bergetar sedikit , segan jika pertanyaan ini menimbulkan rasa kurang senang .
“ Sudah dekat . Selepas selekoh di depan , ada simpang dan belok ke kiri . Akan terus nampak rumah kami ...”
Dua minit selepas itu sampai di simpang dan Ayah terus belok ke kiri . Ternampak sebuah rumah papan yang besar berwarna hijau . Rumah tidak berpagar dan berhalaman tanah yang lapang. Ada sebatang pokok rambutan yang besar di depannya . Ayah berhentikan kereta tidak jauh dari tangga rumah.
“ Mari singgah dulu , kita minum kopi . Boleh berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan...” pelawa Pak Rahim sambil membuka pintu kereta . Pak Rahman juga mempelawa . Dan Ayah seperti tidak berfikir lagi , terus mematikan engin kereta dan turut keluar tanda setuju.
Ayah berdiri di sebelah kereta sambil memandang sekeliling . Suasana sunyi seperti rumah ini tidak ada penghuni lain .
Rumah kayu ini masih kukuh .
Tiang-tiang tinggi dan tegak . Ada veranda . Di kaki tangga veranda , ada tempayan air untuk membasuh kaki . Nampak Pak Rahman sedang mencebok air dengan tempurung kelapa yang diikat dengan tali rotan kepada sebatang kayu kecil . Dia terus naik ke rumah selepas menjirus kedua-dua kakinya.
Pak Rahim menghulurkan cebok kepada Ayah .
Ayah masukkan cebok ke dalam tempayan, keluarkannya dan menjiruskan kaki Ayah. Seperti biasa , Ayah amalkan tertib khusus bila minum , mandi atau menggunakan air . 75% tubuh kita adalah air . Banyak rahsia khasiat di dalam air . Sebaik air menyentuh kaki , terasa sejuknya air itu . Dan kesejukan air itu mengalirkan kesegaran ke tubuh Ayah . Tiga kali Ayah jiruskan kaki dan setiap jirusan menambah kesegaran .
Selepas itu Ayah hulurkan cebok kepada Pak Rahim dan dia terus membasuh kakinya .
Ayah naik tangga dan berdiri di veranda sambil memandang sekeliling lagi . Nampak Pak Rahman sedang duduk bersila di ruang tamu.
Ayah menangkap bunyi desingan halus yang mengetuk gegendang telinga . Ayah tersenyum . Persekitaran yang harmoni , kata Ayah di dalam hati . Banyak tenaga positif yang tersimpan .
Ayah masuk dan duduk di sebelah Pak Rahman . Sebidang tikar mengkuang mengalasi tempat duduk kami . Anyaman tikar ini sungguh kemas . Tentu ianya dianyam dengan teliti. Hanya orang yang berjiwa halus dapat menghasilkan kerja yang berseni ini . Di depan Pak Rahman , ada satu teko dan 3 cawan siap beralas piring , semuanya putih . Cawan beralas piring adalah tanda adab kesopanan memuliakan tetamu .
Pak Rahman menuangkan air ke dalam ketiga-tiga cawan itu .
“ Kita minum kopi dulu , basahkan tekak ... “ pelawa Pak Rahman kepada Ayah sambil menghulurkan secawan kepada Ayah . Dia juga hulurkan secawan lagi kepada Pak Rahim .
“ Rumah ini tidak ada teh Melayu ... ada kopi sahaja...“ kata Pak Rahim pulak sambil tersenyum memandang Ayah .
Ayah terkejut . Teh Melayu adalah minuman rutin di pusat rawatan Ayah . Tetapi Ayah diam sahaja . Ayah mengucapkan terima kasih dan terus minum seteguk . Sedap , kata Ayah di dalam hati . Rasa kopi ini seperti kopi yang Ayah biasa minum . Ada rasa susu yang dipanaskan , dibubuh butter dan dicampur serbuk kopi yang dimesin kasar. Kopi ini biasa Ayah minum di rumah Arwah Guru .
Terlintas pulak di fikiran Ayah , bila masanya Pak Rahman sediakan kopi ...
Ayah baru hendak bertanya sesuatu , tetapi tidak jadi kerana terdengar bunyi hon kereta di halaman rumah . Seketika , terdengar satu suara memberi Salam dengan kuat serta memanggil nama Pak Rahman .
Pak Rahman mengengsut ke tingkap di belakangnya dan menjenguk ke bawah . Pak Rahim pulak bangun dan menuju ke veranda .
Tidak lama , Pak Rahim muncul dengan empat tetamu yang baru sampai , dua lelaki dan dua perempuan. Nampaknya mereka ini dalam umur tiga puluhan . Wajah mereka kelihatan tertekan dan muram.
Selepas bersalaman dan duduk bersila juga, salah seorang lelaki itu terus bersuara “ Begini Pak Rahman , selepas Asar tadi , isteri saya kena rasuk ...”.
Belum sempat Pak Rahman menjawap , salah seorang perempuan itu yang berbaju kurung warna kuning tiba-tiba menjerit . Tidak jelas apa yang dijeritkannya tetapi nadanya seperti dalam kemarahan. Dan suaranya serak , mirip suara lelaki .
Ayah nampak Pak Rahman tenang sahaja menghadapi keadaan . Dia menyambut segelas air yang dihulurkan oleh Pak Rahim . Ayah merasa hairan bila tiba-tiba ternampak ada jug dan gelas pulak . Tadi hanya ada teko dan cawan .
Perempuan tadi menjerit semakin kuat dan dia cuba berdiri ingin menerkam ke arah Pak Rahman . Tetapi suaminya serta dua orang lagi memegangnya dengan kuat . Dia meronta-ronta marah . Suaranya menakutkan . Suara yang penuh kemarahan dan kebencian . Banyak juga kes rasukan yang Ayah pernah saksi dan rawat tetapi tidak seteruk ini . Bahang panas memenuhi ruang tamu . Sesekali berasa tapak kaki dan dada seperti ditusuk jarum. Sesekali juga berasa seperti ada bara panas menyentuh betis kaki . Sesekali berasa lengan seperti dicakar . Ayah bergelut di dalam hati dengan keinginan untuk berlawan atau diam sahaja .
Ayah merasa tidak selesa lalu berubah tempat dan duduk di belakang Pak Rahman . Pak Rahim pula duduk di sebelah kiri abangnya dan di tangan kanannya ada tasbih berwarna hijau .
“ Rasa sejuk pula duduk di belakang mereka ...” kata Ayah di dalam hati.
Pak Rahman berpaling dan senyum kepada Ayah . Barangkali dia terdengar kata Ayah tadi . Ayah senyum juga , dan rasa lebih bersemangat untuk melihat proses rawatan ini .
Ayah lihat Pak Rahman memegang gelas itu dengan kedua tangannya dan diangkatnya tinggi sedikit dari lantai . Matanya merenung kepada gelas dan mulutnya membaca rukyah . Ayah terdengar dia membaca surah alFatihah , alIkhlas dan selawat. Selepas itu dia diam . Tetapi gelas itu masih dipegangnya . Mungkin ada doa lagi yang sedang dibaca di dalam hati .
Ayah teringat kata-kata Arwah Guru ...
Di dalam air tersimpan rahsia Kebesaran ALLAH. Zarah-zarah air ini memiliki Rahmat Kasih Sayang ALLAH. Zarah-zarah air yang ‘diharmonikan’ boleh menyejukkan kepanasan jiwa , memadam api gangguan , menawarkan bisa-bisa , membasuh kekotoran kalbu dan menyegarkan jiwa raga . Cumanya perlu dipelajari adab dan tertib bermesra dengan air , supaya hasrat kita menyatu di dalamnya .
Pak Rahman menghulurkan gelas air kepada suami itu dan mengisyaratkan supaya diberi minum kepada isterinya .
Pada mulanya perempuan itu tidak mahu meminumnya . Berkali-kali ditepisnya gelas yang dihulurkan kepadanya. Ayah nampak Pak Rahman menadah tangan seperti berdoa dan matanya merenung perempuan itu .
Tidak lama kemudian , perempuan itu tidak lagi menjerit-jerit. Dia diam sambil tunduk merenung ke lantai . Kemudian , dia menangis teresak-esak . Suara serák tadi sudah hilang. Selepas seketika , dia berhenti menangis dan diam sambil menunduk merenung lantai .
Dia merapati suaminya dan berbisik sesuatu . Suaminya menganggukkan kepala dan terus menghulur gelas tadi kepada isterinya . Nampaknya, isterinya minum dengan rela. Suasana jadi sunyi .
Pak Rahman kemudiannya bersuara memecah kesunyian “ Gangguan ini mudah meresapi jika dalaman kita penuh kemarahan atau kesedihan ...”
“ Manusia ini disebut oleh ALLAH di dalam AlQuran sebagai suka berkeluh kesah bila susah dan berkira ( kedekut) bila senang , “ sambung Pak Rahman.
Kami semuanya diam , masing-masing agaknya cuba khusyuk mendengar kata nasihat Pak Rahman . Di separuh jalan , Ayah seperti tidak mampu khusyuk lagi . Ayah perasan sesuatu . Semua kata-kata Pak Rahman seperti telah pernah Ayah dengari . Cerita berlian , cerita gunung dan ego , cerita bertasbih , cerita jiwa dan raga , cerita surah Anfiil mengingatkan Ayah kisah lama bersama Arwah Guru .
Ayah teringat pesanan Arwah Guru “Bila aku sudah pulang , kamu akan berjumpa dengan saudara-saudara sealiran yang tidak pernah kamu kenal tetapi kamu akan rasa terkait rapat seolah telah lama bersama...”
Ayah pejamkan mata dan fokus kepada pernafasan. Rasai udara yang masuk dan udara yang keluar . Rasai perubahan pada tubuh pada setiap pernafasan . Telinga Ayah menangkap pelbagai bunyi . Bunyi desingan halus . Bunyi pelbagai burung berkicau . Bunyi lebah berterbangan . Bunyi daun bergeser ditiup angin . Bunyi air terjun . Bunyi kokokan ayam . Bunyi kerantung ditabuh . Adunan pelbagai bunyi yang menghasilkan orchestra simponi yang harmoni dan mendamaikan . Keindahan bunyian di dalam KebesaranNYA .
Ayah masih pejamkan mata . Bunyi sudah tidak kedengaran kecuali desingan halus . Giliran hidung menangkap wangian yang datang silih berganti . Wangian bunga . Wangian Kasturi . Wangian daun pandan. Wangian gaharu. Macam-macam wangian . Setiap wangian menerobos masuk melalui hidung dan memberi kesegaran kepada fikiran . Pernafasan terasa enak dan nikmat .
Ayah hanyut dalam kesegaran wangian. Tadi tenggelam dalam kedamaian simfoni bunyi-bunyi. Semuanya dapat dirasai ketika jasad dan fikiran bergabung merenung KebesaranNYA .
Sehinggalah Ayah tersedar bila terdengar suara Pak Rahman berkata “Kita mintak sahabat kita untuk menyambung rawatan dengan membuat mandian untuk menolong isteri saudara kita ini ... Selepas mandian , elok beri dia cium minyak wangian bunga pulak . Biar segar sedikit luaran dan dalaman...“
Terkejut Ayah bila peha Ayah dicuit oleh Pak Rahim . Fahamlah Ayah , sahabat yang dimaksudkan oleh Pak Rahman tadi adalah diri Ayah sendiri. Maknanya, Ayah perlu mengambik alih tugas rawatan sekarang.
Semua mata merenung ke arah Ayah . Suara Ayah tidak terkeluar untuk menjawap. Ayah sekadar mengangguk kepala tanda setuju untuk melakukannya .
Sambil menepuk dengan lembut bahu Ayah , Pak Rahim berkata “ Bilik air ada di belakang untuk dibuat mandian...”
Ayah seperti tidak mampu untuk berkata apa-apa . Hari sudah hampir senja, mungkin Maghrib akan masuk dalam sejam lagi .
Ayah pun bangun dan berjalan menuruti Pak Rahim ke bilik air di belakang . Sewaktu bangun , telinga Ayah menangkap bunyi merdu bacaan surah Anfiil .
Semasa berjalan itu , lantai papan yang kami pijak terasa sangat kukuh , langsung tidak berbunyi atau bergegar .
Bilik air besar, bersih dan selesa . Ada satu tempayan yang besar dipenuhi dengan air .
Pak Rahim tinggalkan Ayah dan berjalan ke ruang hadapan. Dia hendak menjemput perempuan dan suaminya untuk Ayah dibuat mandian pulih diri . Mandian untuk kesegaran dalaman dan luaran . Mandian yang dipanjatkan doa semoga dipisahkan kebatilan dari diri . Jirusan mandian yang dibuat dengan penuh tertib . Jirusan mandian yang diiringi jurus . Bantuan dan Perlindungan ALLAH menjadi intipatinya . Niat Lillahitaala membersihkan diri adalah tujuannya. Rahmat ALLAH dipohon dalam kerendahan diri . Kerana Sesungguhnya Penawar itu ialah Rahmat ALLAH.
Ayah rasa gugup juga sedikit . Terasa kelainan dalam kes ini . Waktu sedang dirasuk tadi , ada banyak bayangan yang Ayah nampak . Dan ada satu bayangan perempuan tua yang rambutnya putih serta mata yang merah menyala merenung tepat ke arah Ayah . Renungan yang penuh dengan kemarahan , kebencian dan dendam . Seolah ada perseteruan lama .
Ayah berighstifar perlahan-lahan. Jangan risau , bisik Ayah memujuk diri . Perbetulkan niat dan bina keyakinan . Biar ilmu sebesar debu tetapi keyakinan sebesar gunung . Nampaklah DIA Yang ESA di dalam segalanya.
Ayah dekati tempayan yang penuh berisi air . Ayah memberi Salam dan berselawat , dan kuakkan air perlahan-lahan. Ayah hendak berwuduk dahulu . Perlu bersihkan diri sendiri sebelum membuat mandian membersihkan orang lain .
Selepas berkumur sekali , Ayah mula mengambil wuduk . Air yang dingin membasahi wajah Ayah . Kulit bagai diresap tenaga kesegaran . Pada kali ketiga, Ayah pejamkan mata sambil meratakan air ke setiap inci wajah . Tidak mahu ada kulit wajah yang tertinggal .
Bila mata terbuka , Ayah terkejut . Ayah sedang berdiri di tengah lautan air yang jernih. Hanya air yang kelihatan sejauh pandangan . Tidak nampak tepian atau pantai . Tidak ada lagi rumah Pak Rahman dan Pak Rahim . Airnya separas pinggang, tidak sejuk dan tidak panas . Ayah tidak pulak merasa takut atau cemas.
Ayah mendongak ke atas . Nampak segumpal awan hitam. Dan nampak kilat memancar terang berkali-kali di dalam awan itu . Awan hitam itu bergerak , dan kilat masih memancar tetapi tidak seterang tadi . Ayah masih memerhati awan itu . Nampak awan terus bergerak . Kilat sudah berhenti . Dan awan terus hilang dari pandangan . Langit jadi biru dan cerah.
Ayah pejamkan mata . Fikiran kosong , cuma kehairanan bagaimana berada di sini . Ayah sebut di dalam hati , Ya ALLAH berikanlah aku PetunjukMU ...
Tiba-tiba Ayah dengar suara Along ( anak sulung ) memanggil “ Waliq Waliq ...”
Ayah buka mata . Ayah perhati sekeliling. Dan Ayah sedar bahawa Ayah sedang berada di dalam bilik . Di sebelah , nampak Umi sedang tidur nyenyap . Tahulah Ayah , berada di bilik tidur sendiri . Ayah bermimpi rupanya.
Ayah bangun dan duduk di tepi katil. Ayah gosokkan kedua-dua tangan , dan sentuhkan ke mata ( sambil pejam) . Amalan ini untuk merangsang daya ‘ receptive ‘ . Ambik hand phone, tengok jam baharu pukul 4.45 pagi .
Ayah berjalan ke bilik air , berkumur serta basuh muka dan kaki . Terus ke dapur pulak , minum air segelas . Buka mangga pintu tengah dan keluar .
Udara sejuk di luar . Ada kabus nipis . Ayah lepaskan kucing-kucing dari sangkar. Semuanya berkejaran ke ruang kosong di belakang melepaskan hajat . Ada seekor dua yang menempel di kaki Ayah , ingin bermanja .
Ayah berjalan perlahan-lahan ke hadapan rumah Akademi . Ayah tarik kerusi di depan pokok limau dan duduk . Udara segar . Ayah buat breathing exercise sekejap . Selepas itu Ayah cuba mengingati semula mimpi tadi . Ayah teringat maksud ayat akhir pada surah alWaqiah ...”Bertasbihlah memuji Tuhan Yang Maha Besar “.
Selepas terdengar suara azan Subuh , Ayah pun masuk ke rumah mencari erti mimpi ...
Ulasan
Catat Ulasan