CERITA HARIMAU MENJAGA TIKUS


Satu malam itu saya berjumpa Pak Ujang (Arwah - AlFatehah). Dari masa ke sama sudah menjadi kelaziman untuk saya mengadapnya , seorang murid yang cuba mendapatkan aura keberkatan dari seorang Guru .

Malam itu

hujan turun lebat dan kami duduk di sebuah kedai mamak berhampiran Tesco Bercham , Ipoh . Seperti biasa , kami berdua memesan teh candu panas dan roti canai banjir kuah parpu campur kari .

Kedai agak penuh dan sesak dengan pelanggan .

Sementara menunggu pesanan sampai , kami saling bercerita khabar masing-masing dan keluarga. Alhamdulillah, semuanya baik sahaja .

Sebaik pesanan sampai , kami terus makan dan minum perlahan-lahan.

“ Malam ini aku hendak beritahu satu cerita ,” kata Pak Ujang .

“ Cerita apa tu Pak Ujang ?” tanya saya .

Pak Ujang pun bercerita ...



Seorang pemuda masuk ke hutan , berhajat mencari satu tempat yang sunyi untuk dia duduk bertapa mencari erti kehidupan.

Setelah penat berjalan , dia menjumpai satu tempat yang berhampiran dengan anak sungai dan ada satu batu besar yang sesuai untuk dia duduk dan melakukan aktivitinya .

Batu besar itu pula berada di bawah sepohon pokok yang rendang dan banyak daunnya . Jadi batu tempat dia duduk itu redup , sejuk dan sunyi . Bunyi air anak sungai yang mengalir boleh didengari dengan jelas . Bunyi daun-daun bergeseran kerana di tiup angin pun jelas kedengaran .

Pemuda itu pun memulakan ritualnya . Dia duduk bersila dalam posisi yang selesa , dengan mata yang terpejam, dia mula membaca apa yang telah dipesan oleh gurunya .

Setelah seketika berlalu , bacaannya terhenti dan matanya terbuka . Dia terdengar seperti ada benda bergolek di depannya dan mengganggu fokusnya . Dia ternampak seekor tikus bergolek di depannya . Tikus itu cacat , tidak berkaki. Tetapi tikus itu nampak gemuk dan sihat .

Pemuda itu berfikir bagaimana tikus ini mendapat makanannya ! “ Kakinya tiada , hanya bergolek sahaja ,” katanya dalam hati dengan kehairan .

Pemuda itu berbisik kepada dirinya 
“ Mungkin ada sesuatu pengajaran yang Tuhan ingin sampaikan !”.

Pemuda itu pun mengambil keputusan meneruskan aktivitinya , dan dia pun memejamkan mata dan memulakan bacaannya .

Tiba-tiba dia terdengar suara mengaum . Dan ada bunyi ranting kayu patah dipijak . Dia membuka matanya dan sekaligus berhenti membaca . Jantungnya berdegup kencang. 

“ Pak Belang ! “ , katanya di dalam hati .

Seperti terdorong , dia bingkas bangun dan berlari ke pokok rendang tadi . Dia pun bagai tidak percaya , sebentar sahaja dia sudah berada di dahan yang agak tinggi . Selama ini jarang benar dia memanjat pokok !

Tidak lama kemudian , memang betul tekaan pemuda ini . Pak Belang yang besar muncul dan di mulutnya ada sekeping besar daging yang masih merah lagi . Pak Belang menghampiri tikus itu dan meletakkan daging itu didepannya . Dan tikus itu berbunyi seolah mengucapkan terima kasih. Pak Belang mengaum halus mungkin sebagai tanda ‘ my pleasure ‘. Pak Belang berpaling dan merenung sebentar ke arah pemuda tadi . Kemudian Pak Belang berjalan ke arah yang ia muncul tadi dan terus hilang .

Termenung si pemuda dengan kejadian di depan matanya . Selepas hilang rasa debaran takut , pemuda pun turun semula dan berjalan ke tempat duduknya semula .

Pemuda pun tersenyum lalu berkata di dalam hati “ Tahulah aku sekarang , tikus ini sihat walaupun cacat tidak berkaki kerana Pak Belang menghantar makanan kepadanya .”

Pemuda itu merasa lebih bersemangat untuk meneruskan aktivitinya . Pada fikirannya , inilah kebenaran kepada pepatah lama , ulat dalam batu pun ada rezekinya . Di depan matanya , Pak Belang menghantar makanan kepada tikus yang cacat !

Pemuda itu pun duduk tegak semula dan memulakan aktivitinya - pejam mata dan membaca sesuatu berulang-ulang dengan perlahan .

Masuk hari kedua , pemuda itu masih duduk bersila . Dia mula merasa lemak kerana tidak makan dan minum . Tetapi dia tidak mahu berganjak , dia yakin bahawa dia akan dapat rezeki seperti tikus itu . Dia hanya perlu menanti . Dia perlu sabar .

Masuk hari ketiga , pemuda itu sudah tidak dalam posisi duduk lagi . Dia sudah terbaring sambil menjerit-jerit tanda kesakitan . 

Bila matahari berada tegak di atas kepala , rasa sakitnya makin menjadi dan suara jeritannya bertambah kuat .

Sekonyong -konyong , muncul gurunya yang terus memegangnya .

Pemuda itu cuba bangun dan duduk sambil dibantu oleh gurunya . Bila dia telah duduk , dia pun bercerita bahawa Tuhan telah menunjukkan satu peristiwa di depannya - kisah tikus cacat dan Pak Belang .

Gurunya tersenyum dan berkata sesuatu .

Pak Ujang hentikan ceritanya dan memandang tepat ke wajah saya . Dia senyum , dan terus mengangkat gelas teh candu dan minum seteguk dua lalu meletakkannya semula .

“ Kamu tahu apa Guru itu katakan kepada pemuda anak muridnya ? “ Pak Ujang bertanya kepada saya .

Saya diam . Sekalipun , jika saya tahu jawapannya , saya tetap tidak akan menjawap . Tertib , adab berguru , biar Guru yang memberi jawapan .

Pak Ujang yang sudah memahami adab saya menyambung “Guru itu berkata , buat apa kamu hendak menjadi tikus yang berharap kepada pemberian , sebaliknya jadilah harimau yang dermawan.”

Termenung saya sebentar .

“ Jadilah pemberi bukan penerima ! “ Saya membuat kesimpulan di dalam hati .

Malam itu saya merasa seronok sekali dapat mendalami satu perspektif baru
tentang kehidupan ini .

Sebelum berpisah , saya cium tangannya dan kami berpelukan . Mata Pak Ujang berair seperti biasa , barangkali sedih untuk berpisah dengan saya , anak murid tunggal juga anak murid nakalnya . Saya memberi beberapa botol Muscare Aroma Herbal Essential Oil untuk kegunaannya dan sekeping sampul buat perbelanjaannya.


Watak Dalam Cerita Ini

Saya - Muscare House
Pak Ujang - Arwah Guru Muscare House

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KISAH BENAR….KISAH ZAM DAN 7 JIN PENDAMPING

Cerita Bau Busuk Dapur Dan Perut